Saturday 15 December 2012

SYARAH AL-HIKAM : 90-92: Qabadh Dan Basath

90-92: QABADH DAN BASATH.

 DILAPANGKAN KAMU (DIBERI KEGEMBIRAAN) SUPAYA KAMU TIDAK DITINGGALKAN DALAM KETAKUTAN. DIBERIKAN RASA TAKUT DAN GERUN SUPAYA KAMU TIDAK DITINGGALKAN DALAM KESUKAAN. DIBEBASKAN KAMU DARI KEDUA-DUANYA SUPAYA KAMU TIDAK DITARIK OLEH SESUATU SELAIN DIA (ALLAH S.W.T).

ORANG ARIF, APABILA DIBERIKAN NIKMAT KELAPANGAN ATAU KEGEMBIRAAN AKAN LEBIH BERASA TAKUT DARIPADA APABILA DIBERI  NIKMAT YANG MERUPAKAN KESEMPITAN DAN KETAKUTAN, KERANA TIDAK DAPAT TEGAK DI ATAS BATAS-BATAS KESOPANAN DALAM KEADAAN KESENANGAN KECUALI SEDIKIT.

KELAPANGAN DAN RIA HATI MEMPUNYAI RUANG UNTUK NAFSU MENGAMBIL KESEMPATAN DARIPADA KEGEMBIRAAN ITU DAN PADA TAKUT DAN GERUN TIDAK ADA KESEMPATAN UNTUK NAFSU MENCELAH.


1]. Qabadh adalah perasaan yang timbul dalam hati apabila hati berhadapan dengan sifat keagungan Allah s.w.t. (Sifat JALAL - notes by penyusun)

 Hati dapat merasai keperkasaan-Nya. Bila hati melihat keperkasaan Allah s.w.t dan mengakui kelemahan dirinya, maka lahirlah perasan takut, gerun, kecut dan berbagai-bagai perasaan yang seumpamanya sehingga seolah-olah berkecai sekalian tulang belulangnya, luruh segala dagingnya dan dia merasai kelemahan yang amat sangat di samping Yang Maha Perkasa, Maha Agung dan Maha Keras.

Orang yang menerima nikmat dalam bentuk qabadh akan menjadi tidak bermaya, seakan-akan lumpuh. Apa yang dialami oleh hati berbekas pada anggota zahir
Pengalaman qabadh membuat seseorang mengetahui betapa hebatnya tuntutan Allah s.w.t jika ditegakkan keadilan dan keperkasaan-Nya. Tidak ada dosa yang terlepas daripada perkiraan dan hukuman-Nya.



2]. Basath pula adalah perasaan yang timbul apabila hati berhadapan dengan sifat keindahan Allah s.w.t. (Sifat JAMAL - notes by penyusun)

Hati melihat Allah s.w.t Yang Maha Indah, Maha Lemah-lembut, Maha Pemurah, Maha Pengampun dan seumpamanya, lalu terasalah pada hati akan kelazatan, kenikmatan, kesenangan, keselesaan, kesejahteraan dan seumpamanya yang tidak terperi.

Hati yang dipenuhi oleh basath akan merasai keriangan yang tidak terucapkan dan dia menjadi seumpama orang yang mabuk dalam kelazatan
Pengalaman basath pula memperlihatkan kemurahan Allah s.w.t. Walaupun hamba-Nya menghadap-Nya dengan membawa dosa sebanyak buih di lautan namun, Dia bersedia mengampunkannya.

*   *   *   *   *   *   *   *   *   *   *
Orang yang menerima nikmat dalam bentuk qabadh akan menjadi tidak bermaya, seakan-akan lumpuh. Apa yang dialami oleh hati berbekas pada anggota zahir.

Tubuh badan turut merasakan qabadh. Jika seseorang dikuasai oleh qabadh dalam tempuh yang lama, mungkin tubuhnya tidak dapat bertahan dan dia mungkin akan mati lantaran takutkan Allah s.w.t. Allah s.w.t mendatangkan qabadh sebagai memperkenalkan keperkasaan-Nya bukan untuk membinasakan hamba-Nya.

Oleh sebab itu Dia tidak membiarkan hamba-Nya binasa dalam qabadh, maka didatangkan-Nya pula basath, iaitu kegembiraan yang amat sangat. Hati yang dipenuhi oleh basath akan merasai keriangan yang tidak terucapkan dan dia menjadi seumpama orang yang mabuk dalam kelazatan

Pengalaman yang berganti-ganti antara qabadh dan basath menambahkan makrifat seseorang.
Qabadh dan basath adalah dua hal yang bertentangan. Apabila seseorang hamba dimasukkan ke dalam darjat pilihan, mata hatinya tidak lagi melihat kepada pertentangan tersebut, sebaliknya terus tertuju kepada Allah s.w.t yang menjadikan pertentangan sebagai bukti kebijaksanaan-Nya. Pertentangan hanya wujud jika dilihat secara berasingan, seperti melihat tangan kanan dengan tangan kiri. Jika kedua-duanya dilihat sebagai kesatuan, iaitu tangan kanan dan tangan kiri itu dibawa bertemu, maka kedua-duanya itu bertemu dengan sempurna, tiada lagi perlawanan.

Makam melihat Allah s.w.t dalam dua perkara yang bertentangan dengan sekali pandang adalah makam ‘arifbillah. Pandangannya tidak terlepas daripada menyaksikan Allah s.w.t. Allah s.w.t dilihat pada orang yang kena bunuh dan orang yang membunuh dengan sekali pandang. Tidak terhijab pandangannya oleh hukum sebab musabab. Inilah makam hamba pilihan yang disemayamkan di Hadrat-Nya. Tidak ada sesuatu selain-Nya yang dapat menarik keluar hamba ini dari Hadrat-Nya.

Orang ‘arifbillah yang mengekalkan ‘ubudiyahnya terhadap Allah s.w.t melihat qabadh dan basath sebagai ujian dari Allah s.w.t.

Di antara dua hal tersebut, mereka lebih khuatir jika dikenakan ujian basath. Hati yang leka dengan kesenangan dan keselesaan mudah tergelincir dari memelihara adab sopan ‘ubudiyah. Di dalam hal yang semacam ini, nafsu mudah mengambil kesempatan di atas kemurahan Allah s.w.t. Suasana qabadh pula dapat mengukuhkan ‘ubudiyah dan nafsu tidak berpeluang mencuri masuk. Qabadh menambahkan harapan dan pergantungan kepada Allah s.w.t.
.

No comments:

Post a Comment