Sunday 23 December 2012

SYARAH AL-HIKAM : 75: Kurniaan yang menjadi istidraj

75: KURNIAAN YANG MENJADI ISTIDRAJ.


TAKUTLAH KAMU TERHADAP KURNIAAN ALLAH S.W.T YANG SELALU KAMU PEROLEHI SEDANGKAN KAMU MELANGGAR PERINTAH-NYA, JANGAN SAMPAI KURNIAAN ITU SEMATA-MATA ISTIDRAJ.

(FIRMAN ALLAH S.W.T DALAM SURAH AL-A’RAF, AYAT 182): KAMI AKAN BINASAKAN MEREKA PERLAHAN-LAHAN DENGAN JALAN YANG MEREKA TIDAK SEDAR.

Orang kafir, musyrik, ahli maksiat, orang zalim dan lain-lain seumpama mereka, dalam kehidupan dunia ini selalu mendapat berbagai-bagai kemewahan. Merekalah yang memiliki sebahagian besar kekayaan dunia. Mereka juga memiliki ilmu pengetahuan yang menjadikan mereka kuasa besar di dunia. Mereka juga menguasai bidang-bidang sukan, muzik, kesenian dan lain-lain.

Kumpulan manusia yang beriman pula terdiri daripada mereka yang lemah, tidak berpendidikan tinggi dan berkedudukan rendah dalam masyarakat. Kemewahan dan kesenangan yang dimiliki oleh mereka yang tidak beriman dan ahli maksiat mempesonakan sebahagian orang-orang Islam yang lemah imam.

Mereka tidak dapat membezakan kurniaan yang mengandungi nikmat dan kurniaan yang telah dicabut nikmat daripadanya. Hikmat 75 ini menghuraikan perkara berkaitan kurniaan yang tidak mengandungi nikmat, yang dinamakan istidraj.

Istidraj bermakna kurniaan yang dihulur terus menerus kepada ahli maksiat. Kurniaan yang seperti ini membuat ahli maksiat bertambah lalai dan bertambah derhaka kepada Allah s.w.t. Apabila kelalaian dan kederhakaan mereka telah melampaui batas maka Allah s.w.t mendatangkan bala yang besar kepada mereka.

Mereka adalah umpama orang yang diangkat ke tempat yang tinggi sambil mereka menganggap pengangkatan itu sebagai satu kemuliaan namun, setelah mereka berada di tempat yang tinggi itu mereka dicampakkan ke bawah.
Kejatuhan yang demikian memberi kesakitan yang lebih kuat. Allah s.w.t berfirman:
 
Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan). (Ayat 44 : Surah al-An’aam)

Ayat di atas memberi peringatan kepada kita agar jangan terpedaya dengan kurniaan yang terus menerus kita perolehi sedangkan kita terus juga tidak berbuat taat kepada Allah s.w.t, sebaliknya kita asyik dengan kemaksiatan. Sekiranya kurniaan itu turun melalui saluran istidraj, kesudahannya kita akan mengalami kejatuhan dan penderitaan yang amat sangat. Waspadalah!

Allah s.w.t sentiasa mengirimkan peringatan untuk mengajak manusia kembali ke jalan-Nya. Biasanya peringatan yang datang itu membawa bersama-samanya kesusahan yang menekan jiwa manusia agar manusia insaf dan mahu kembali kepada Allah s.w.t dengan merendahkan diri.

Di dalam tempoh kemelaratan itu biasanya manusia menjadi insaf dan suka berbakti pada jalan Allah s.w.t. Kemudian Allah s.w.t gantikan kemelaratan dengan kesenangan sebagai ujian untuk mengasingkan yang benar-benar insaf daripada yang pura-pura. Bila kesenangan sudah dirasai kembali orang yang tidak teguh imannya akan kembali kepada kemaksiatan dan kemunkaran.

Mereka memberi alasan bahawa kesenangan dan kesusahan adalah lumrah kehidupan sebagaimana yang pernah dirasai oleh nenek moyang mereka yang dahulu, bukan berkait dengan soal beriman atau tidak seseorang itu kepada Allah s.w.t. Mereka kembali lalai dalam arus kesenangan dunia. Ketika mereka sedang asyik leka itulah Tuhan datangkan kebinasaan kepada mereka.

Dan Kami tidak mengutus dalam sesebuah negeri seorang nabi (yang didustakan oleh penduduknya), melainkan Kami timpakan mereka dengan kesusahan (kesempitan hidup) dan penderitaan (penyakit), supaya mereka tunduk merendah diri (insaf). Setelah (mereka tidak juga insaf) Kami gantikan kesusahan itu dengan kesenangan hingga mereka kembang biak (serta senang-lenang) dan berkata (dengan angkuhnya):

“Sesungguhnya nenek moyang kita juga pernah merasai kesusahan dan kesenangan (sebagaimana yang kita rasakan)”.  Lalu Kami timpakan mereka (dengan azab seksa) secara mengejut, dan mereka tidak menyedarinya. (Ayat 94 & 95 : Surah al-A’raaf)

Apabila seksaan dan kebinasaan dari Allah s.w.t datang, tidak ada siapa dapat menghalangnya dan tidak ada siapa mampu menanggungnya. Orang yang menerimanya menjadi bingung, tidak tahu berbuat apa-apa.

(Mereka tidak diberitahu akan masa itu) bahkan (yang dijanjikan) itu akan datang kepada mereka secara mengejut, serta terus membingungkan mereka; maka mereka tidak akan terdaya menolaknya, dan tidak akan diberi tempoh bertaubat. (Ayat 40 : Surah al-Anbiyaa’)

Sudah banyak kaum-kaum yang dibinasakan Allah s.w.t melalui saluran istidraj. Firaun dan Namrud diberi tempuh yang panjang hidup di dalam kesenangan, kemewahan dan keseronokan. Kemudian Tuhan datangkan azab dengan tiba-tiba. Firaun dibinasakan di dalam laut dan Namrud dibinasakan oleh nyamuk. Qarun juga binasa ketika asyik dengan kekayaan. Begitu juga dengan kaum-kaum Nabi-nabi Nuh dan Luth.

Orang-orang yang beriman sentiasa mengawasi diri mereka agar kesenangan dan kemewahan tidak melalaikan mereka yang boleh menyebabkan mereka jatuh ke dalam suasana istidraj.

No comments:

Post a Comment