Sunday 23 December 2012

SYARAH AL-HIKAM : 70 - 72: Tamak melahirkan kehinaan

70 – 72: TAMAK MELAHIRKAN KEHINAAN.

TIDAKLAH PANJANG DAHAN KEHINAAN MELAINKAN YANG TUMBUH DARI BENIH TAMAK.


TIADA SESUATU YANG DAPAT MENGHERET KAMU SEBAGAIMANA WAHAM (SYAK WASANGKA ATAU ANGAN-ANGAN).

KAMU MERDEKA DARI SESUATU YANG KAMU TIDAK MEMPUNYAI HAJAT KEPADANYA DAN KAMU ADALAH HAMBA BAGI SESUATU YANG KAMU TAMAK KEPADANYA.

Bidang latihan kerohanian menekankan soal menyerah diri kepada Allah s.w.t. Orang yang maju dalam bidang tersebut adalah orang yang memisahkan dirinya dari pengaruh duniawi dan makhluk sekaliannya, hatinya hanya terikat dengan Allah s.w.t.

Latihan kerohanian mendidik hati agar berpisah daripada diri sendiri iaitu berpisah dengan kehendak diri sendiri, cita-cita, angan-angan dan fikiran lalu masuk ke dalam penguasaan Iradat Allah s.w.t. Orang yang dikuasai oleh Iradat Allah s.w.t tidak mempunyai kehendak melainkan keinginan mahu menghampirkan diri kepada Allah s.w.t, maksud dan tujuan hanyalah Allah s.w.t, fikiran dan renungan hanya kepada Allah s.w.t, tidak ada lagi kekuatan yang tertuju kepada selain Allah s.w.t. 

Jika seseorang murid menghadapi kesukaran untuk berserah diri dan bergantung kepada Allah s.w.t, susah pula melepaskan keinginannya serta menghilangkan gambar-gambar benda alam dari hatinya, maka periksalah hati itu pasti akan ditemui bahawa hati itu menghidapi penyakit tamak atau loba. Tamak diibaratkan sebagai benih yang menumbuhkan pokok kehinaan. Dahan-dahan kehinaan akan menjalar  dan terhulur ke sana ke mari.


Penyakit tamak akan mengikis perasaan malu dan menghapuskan maruah diri dan memakaikan pakaian kehinaan kepada orang yang berkenaan. Dia menjadi hina pada pandangan makhluk dan lebih buruk lagi kedudukannya di sisi Allah s.w.t. Dia umpama anjing yang lidahnya sentiasa terjulur melihat apa yang ada di dalam tangan orang lain. Si anjing tidak memperdulikan apakah dia dimaki, dihalau atau dipukul asalkan dia boleh dapat apa yang dia mahu. Si tamak melihat seolah-olah rezeki yang diperuntukkan kepadanya tidak ada sempadan, sementara rezeki yang diperuntukkan kepada orang lain masuk ke dalam sempadan rezekinya, sebab itu menjadi haknya untuk mengambil apa yang masuk ke dalam sempadannya. Si tamak tidak memperdulikan bagaimana dia mendapatkan apa yang dia hajati, apakah dengan menadah tangan, memujuk rayu, menipu atau memaksa.

Tamak timbul dari waham iaitu syak wasangka atau ragu-ragu dengan rezeki yang dijamin oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t menjaminkan rezeki kepada sekalian makhluk-Nya dan sebagai timbal balasnya hamba pula diberi tanggungjawab (Hikmat 5). Orang yang ragu-ragu terhadap jaminan Allah s.w.t mencuaikan kewajipan yang diamanatkan kepadanya dan rajin mencari apa yang dijamin untuknya sehingga menceroboh sempadan yang menjadi jaminan untuk orang lain. Inilah yang terjadi pada orang tamak.

Bagaimana boleh dia menghampiri Allah s.w.t jika amanat yang diserahkan kepadanya diabaikannya dan tanggungjawab yang dipikulkan kepadanya dicampakkannya. Dia berasa ragu-ragu untuk menggunakan masa bersama-sama Allah s.w.t, bimbang rezeki yang dijamin tidak akan sampai kepadanya. Lantaran itu dia meninggalkan peluang bersama-sama Allah s.w.t kerana mengejar apa yang dia tamakkan.

Orang ini memilih harta Allah s.w.t daripada Allah s.w.t yang menguasai harta itu. Tamak dan sangkaan tidak berpisah. Orang tamak dihela ke sana ke mari oleh sangkaannya untuk mengejar kebendaan. Dia tidak sedar yang dia sudah menjadi hamba kepada benda, dan orang yang boleh mendatangkan benda itu kepadanya dapat menguasi dirinya itu. Tetapi, dia menyangka dialah yang menguasai benda dan orang tadi, padahal dia tunduk kepada benda dan orang yang menguasai pemilikan benda itu.


Sekiranya seorang raja dikuasai oleh perasaan tamak, akan wujudlah kerajaan di belakang tabir yang menguasai takhta dan pemerintahan secara tidak langsung. Jika menteri kabinet dikuasai oleh perasaan tamak, akan wujudlah kabinet bayangan yang mempengaruhi keputusan menteri tadi. Kekuasaan, pangkat dan harta tidak memerdekakan seseorang yang tamak Dia hanya boleh merdeka jika dia membuang sifat ini. Apabila tidak ada lagi keinginannya untuk memiliki apa yang berada di dalam tangan orang lain, baharulah dia bebas berjalan menuju Allah s.w.t. Dia sudah terlepas daripada sauh yang menariknya ke bawah.

Allah s.w.t memberi ancaman yang keras kepada mereka yang tamak.

Sesungguhnya manusia tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya; Dan sesungguhnya ia (dengan bawaannya) menerangkan dengan jelas keadaan yang demikian; Dan sesungguhnya ia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba). (Patutkah ia bersikap demikian?) Tidakkah ia mahu mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala yang ada dalam kubur? Dan dikumpulkan serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada?

Sesungguhnya Tuhan mereka, Maha Mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikan-Nya kepada) mereka - pada hari itu. (Ayat 6 – 11 : Surah al- ‘Aadiyaat)

Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan di sempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: “Tuhanku telah menghinakan daku!” Janganlah demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang-orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang ia berhak menerimanya); dan kamu tidak menggalakkan untuk memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin; - 

Dan kamu sentiasa makan harta pusaka secara rakus (dengan tidak membezakan halal haramnya), Serta kamu pula sayangkan harta secara tamak haloba! Jangan sekali-kali bersikap demikian! (Sebenarnya) apabila bumi (dihancurkan segala yang ada di atasnya dan) diratakan serata-ratanya,  Dan (perintah) Tuhanmu pun datang, sedang malaikat berbaris-baris (siap sedia menjalankan perintah), Serta diperlihatkan neraka Jahannam pada hari itu, (maka) pada saat itu manusia akan ingat (hendak berlaku baik), dan bagaimana ingatan itu akan berguna lagi kepadanya? (Ayat 16 – 23 : Surah al-Fajr)

1 comment: