Friday 14 December 2012

SYARAH AL-HIKAM : 120: Zahir Bersyariat Dan Batin Beriman


120: ZAHIR BERSYARIAT DAN BATIN BERIMAN.

APABILA KAMU PADA ZAHIRNYA DIHIASKAN DENGAN TAAT KEPADA PERINTAH-NYA DAN DIKURNIAKAN PADA BATIN KAMU MENYERAH BULAT KEPADA ALLAH S.W.T, YANG DEMIKIAN ADALAH SEBESAR-BESAR NIKMAT BUAT KAMU.

Hamba Allah yang sejati adalah yang menggunakan segala daya dan upayanya untuk mentaati Allah s.w.t, menurut segala perintah-Nya tanpa hujah, tanpa tangguh, tanpa ragu-ragu dan pada masa yang sama hatinya yakin sungguh-sungguh kepada ketuhanan Allah s.w.t yang memelihara, menjaga, melindungi, menguruskan segala sesuatu dengan cara yang paling baik.

Mentaati perintah Allah s.w.t dengan memelihara sempadan syariat dinamakan takwa, dan keyakinan hati terhadap ketuhanan Allah s.w.t yang memelihara serta mengatur, dinamakan iman.

  • Gandingan iman dan takwa melahirkan sifat ubudiyah yang sejati.
  • Beriman tanpa bertakwa atau beramal adalah kejahilan.
  • Beramal tanpa beriman adalah munafik.
Iman dan takwa merupakan dua belah sayap yang saling bantu membantu agar insan dapat terbang menuju Tuhan. Jika hanya satu sayap sahaja yang ada seseorang itu hanya berpusing-pusing di bumi. Walaupun jauh  jarak yang telah dipusingnya namun, dia tetap berada di bumi, tidak terbang ke alam tinggi.
Seseorang yang menggabungkan iman dan takwa adalah orang yang bersesuaian zahirnya dengan batinnya atau harmoni kedudukan syariat dan hakikatnya. Amalan zahirnya sesuai dengan tuntutan syarak dan batinnya menghadap kepada Allah s.w.t.

Orang yang bersesuaian iman dan takwanya, zahir dan batinnya, syariat dan hakikatnya, jasmani dan rohaninya, sebenarnya mendapat sebesar-besar nikmat daripada Allah s.w.t. Dia terlepas daripada sifat munafik. Dia berada pada tarekat  (jalan) yang benar.

1].       Apabila seseorang menganut agama Islam dia dinamakan Muslim. Muslim menerima syariat Islam sebagai cara hidupnya. Dia memahami dan mengakui akan kebaikan dan kebenaran peraturan yang ditetapkan oleh syariat Islam.

2].    Kemudian dia beriman dengan sesungguhnya kepada Allah s.w.t. Kedudukannya naik daripada muslim kepada Mukmin. Mukmin mempunyai keyakinan yang teguh terhadap Allah s.w.t dan dia tidak ragu-ragu untuk menyerahkan seluruh kehidupannya kepada Tuhan. Dia yakin Allah s.w.t sahaja yang mengatur kehidupannya. Orang Mukmin mematuhi syariat bukan kerana kebaikan dan kebenaran syariat itu semata-mata, tetapi adalah kerana Allah s.w.t. Dia melihat syariat sebagai peraturan Allah s.w.t dan sebagai hamba dia wajib akur kepada peraturan tersebut.

3].        Ketaatan kepada syariat yang didorong oleh iman yang teguh membentuk sifat takwa. Orang yang bertakwa naik dari tahap Mukmin kepada tahap Muttaqin. Makam muttaqin adalah makam keteguhan beramal dengan syariat Islam dan ketetapan hati bersandar kepada Allah s.w.t.

5].        Keteguhan dan ketetapan hati dalam makam muttaqin menjadi tangga untuk mencapai makam Muqarrabin iaitu orang yang hampir dengan Allah s.w.t. Orang yang paling hampir dengan Tuhan adalah orang yang paling bertakwa iaitu orang yang paling teguh kedudukannya pada makam muttaqin.

6].        Makam muttaqin bukan sahaja menjadi tangga untuk mencapai makam muqarrabin bahkan ia juga menjadi tapak untuk naik kepada makam ‘Ariffin. Sepanjang perjalanan dari makam Muslim kepada makam ariffin, iman dan  amal menjadi kenderaan. Perpindahan dari satu makam kepada makam yang lain memperlihatkan keteguhan dan ketetapan amal dan iman.


* notes penyusun:
Muslim > Mukmin > Muttaqin > Muqorrabin > ‘Ariffeen

Sekiranya Allah s.w.t berkehendak mengurniakan kepada hamba-Nya kedudukan yang baik pada sisi-Nya maka hamba tersebut dikurniakan keteguhan dalam melakukan ketaatan kepada-Nya dan diperkuatkan imannya. Hamba yang memperolehi kurniaan begini menjadi hamba yang gemar beribadat, beramal salih dan kuat pula bertawakal kepada Allah s.w.t. Inilah hamba Allah s.w.t yang berjaya.
.

1 comment:

  1. Assalaamualaikum wbt mohon share jzkk Moga diterima sebagai amal soleh In Syaa Allah Aamiin Allahumma Aamiin

    ReplyDelete